suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Intipati Bajet 2027: Ini ‘goodies’ daripada kerajaan, golongan M40 pun dapat manfaat!

Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

BELANJAWAN 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pastinya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Ia menjadi antara tumpuan utama negara dalam menentukan hala tuju ekonomi, pembangunan negara serta inisiatif kerajaan bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada pukul pukul 3.30 petang, Jumaat.

Berikut merupakan intipati Belanjawan 2027:

- Mengenang jasa penjawat awam, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.

- Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM750 turut diberikan kepada lebih satu juta pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

- Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM750 sebagai menghargai jasa 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.

- Peruntukan bagi membina dan menyelenggara kuarters, termasuk untuk polis, doktor, tentera, guru dan bomba, ditingkatkan kepada RM2.3 bilion.

- Rumah Keluarga Angkatan Tentera akan dibina di Skudai, Johor, serta kuarters baharu di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak dan Papar, Sabah. Inisiatif ini memanfaatkan hampir 900 anggota dengan kos lebih RM500 juta.

- Elaun anggota RELA, Bomba Bantuan, Sukarelawan Polis dan Sukarelawan Pertahanan Awam akan dinaikkan kepada RM9 sejam bagi kategori petugas sukarelawan dan RM10.80 sejam bagi kategori penyelia.

- Bayaran faedah Ex-Gratia Waris Pukal secara sekali bayar ditingkatkan daripada RM20,000 kepada maksimum RM50,000, tertakluk kepada tempoh perkhidmatan.

- Kerajaan bersetuju menaikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan daripada 360 hari kepada 490 hari.

- Ini bermakna, kadar cuti bersalin meningkat kepada maksimum 98 hari bagi setiap kelahiran.

- Kadar pencen terendah akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan. Inisiatif ini memanfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penerima pencen terbitan.

Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan kepada kakitangan awam.

Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan kepada kakitangan awam.

- Sebanyak RM935 juta diperuntukkan untuk pelancongan dan budaya. Antaranya termasuk menyediakan geran galakan kepada penggiat industri untuk mempromosi dan menganjurkan acara pelancongan.

- Mutu kemudahan pelancongan akan ditingkatkan, termasuk prasarana jeti dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf UNESCO seperti Danum Valley, Sabah; Lembah Bujang, Kedah dan Taman Negara Pahang.

- Bagi merancakkan pelancongan di pulau bebas cukai di Langkawi dan Labuan, had pembelian barangan bebas cukai bagi pelawat dan pelancong dinaikkan kepada RM10,000, tertakluk kepada tempoh penginapan minimum 48 jam. 

- Lebih banyak produk buatan Langkawi juga diberi pengecualian duti import, sekali gus menyokong usahawan setempat.

- Peruntukan untuk hal ehwal Islam akan ditingkatkan daripada RM2.6 bilion kepada RM3.1 bilion.

- Bagi memelihara keilmuan turath, Kerajaan MADANI menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penglibatan tokoh ulama antarabangsa seperti Syeikh Ali Gomaa dan Syeikh Idris al-Fasi.

- Jakim dan MDEC bekerjasama menyediakan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok seluruh negara.

- Program Dakwah Kreatif diperkenalkan untuk menghasilkan kandungan dakwah yang segar, sahih dan dekat dengan generasi muda melalui media digital, pempengaruh dan AI.

- Insentif khas sebanyak RM150 sebulan diberikan kepada 500 guru KAFA yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk melalui bahasa isyarat dan al-Quran Braille.

- Kerajaan melalui Tabung Haji akan menanggung sepenuhnya caruman Perkeso bagi semua 40,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.

- Peruntukan lebih RM130 juta disediakan bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.

Peruntukan untuk hal ehwal Islam akan ditingkatkan kepada RM3.1 bilion.

Peruntukan untuk hal ehwal Islam akan ditingkatkan kepada RM3.1 bilion.

- Ini termasuk pemberian insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia, dan insentif tambahan bagi karya yang menampilkan budaya serta kenegaraan kita.

- Mulai 2027, tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan dikecualikan sepenuhnya daripada duti hiburan. 

- Peruntukan RM240 juta disediakan untuk persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

- Selain itu, pembangunan sukan negara turut diperuntukkan RM460 juta. Ini termasuk memperkasa program sukan berprestasi tinggi dan Road to Gold, program atlet Para dan Sukan Orang Pekak serta menyelenggara fasiliti sukan di seluruh negara.

- Kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk penyediaan Geran Padanan Sukan bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan, kelab dan NGO.

- Peruntukan bagi aktiviti sukan murid sekolah turut ditambah 50 peratus kepada RM27 juta. Ini bakal memanfaatkan lebih 4.6 juta murid di 10,000 sekolah seluruh negara.

- Kerajaan akan memperkenalkan Program Budi Belia, iaitu bagi anak muda yang dapat melengkapkan jumlah jam dalam aktiviti kesukarelawanan bersama NGO terpilih, mereka menerima insentif e-dompet sebanyak RM100.

- Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar Geran Rukun Tetangga daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun bagi setiap kawasan Rukun Tetangga berdaftar yang aktif di seluruh negara.

Pembangunan sukan negara turut diperuntukkan RM460 juta.

Pembangunan sukan negara turut diperuntukkan RM460 juta.

- Susulan sambutan menggalakkan bagi langganan AI percuma kepada anak muda, sebanyak 100,000 lagi langganan AI percuma ditambah dan diperluas meliputi aplikasi AI baharu seperti ChatGPT.

- Platform Rakyat Digital juga menyediakan akses kepada kursus digital secara percuma hasil kerjasama dengan Coursera, untuk mengikuti lebih 16,000 kursus dan program Sijil Profesional daripada universiti serta organisasi industri terkemuka dunia.

- Secara keseluruhan, RM6 bilion diperuntukkan bagi memperhebat aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan ciptaan rentas kementerian.

- AI Malaysia Berhad menerima hampir RM15 juta bagi memperkukuh ekosistem AI yang selamat dan beretika, menuju sasaran 200,000 tenaga mahir AI.

- Dana MDEC sebanyak RM30 juta akan membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerapkan AI dan mengautomasi operasi. Program ini turut melatih dan memperakui 5,000 profesional AI.

- Malaysia berjaya mengekalkan kawasan berhutan negara hampir 18 juta hektar atau 54.4 peratus daripada keluasan tanah negara.

- Bagi mendukung usaha negeri memelihara khazanah alam, Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) akan ditambah kepada RM270 juta. Peningkatan ini bertujuan menggalakkan kegiatan ekonomi dan ekopelancongan berasaskan komuniti.

- Peruntukan RM65 juta disediakan antaranya untuk memanfaatkan sekitar 2,500 renjer komuniti daripada kalangan Orang Asli, veteran tentera dan pesara polis yang akan melindungi khazanah biodiversiti negara. 

- Bagi melindungi khazanah laut, ikhtiar pembelian pukat lama akan diperkenalkan dengan matlamat supaya tiada lagi pukat lama yang terbiar sehingga membahayakan hidupan marin.

- Selain itu, sistem pembetungan awam yang terlalu usang turut dinaik taraf segera di Pulau Tuba, Langkawi, Redang dan Tioman.

- Kerajaan menyediakan bantuan untuk pesawah sebanyak RM2.62 bilion ringgit. Ini bermakna, bagi setiap hektar sawah, pesawah akan menikmati sekitar RM4,300 meliputi antaranya subsidi benih, baja, racun, upah bajak dan harga padi.

- Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar Insentif Penuaian Padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim. Kadar Insentif Pembajakan yang telah ditingkatkan kepada RM300 akan dikekalkan dan diperluas kepada pesawah Sabah dan Sarawak.

- Kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan dengan peruntukan 30 juta ringgit.

- Bagi meningkatkan pendapatan para nelayan, geran turut disediakan untuk pelaksanaan projek akuakultur. Ini termasuk membekalkan sistem bioflok bagi ternakan tilapia. 

- Para nelayan yang layak terus menikmati harga diesel bersubsidi pada RM1.65 seliter. Sejumlah RM178 juta ringgit turut disediakan antaranya untuk penyaluran insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup sehingga 300 ringgit sebulan.

Pelbagai manfaat bakal dinikmati nelayan pada 2027.

Pelbagai manfaat bakal dinikmati nelayan pada 2027. 

- Kepada pekebun kecil getah, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) buat kali ketiga. 

- RM30 juta disediakan bagi membendung penyakit dan serangan perosak tanaman, termasuk Ganoderma, ulat bungkus dan koya dalam sektor sawit serta penyakit tanaman koko dan lada.

- Kerajaan telah berjaya menyiapkan enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM336 juta. Pada masa ini juga, sebanyak 82 RTB sedang dilaksanakan mengikut jadual.

- Bagi tahun 2027, projek baharu yang akan dilaksanakan termasuklah RTB Bandaraya Kuching, PLSB Sungai Golok Fasa 2, Kelantan dan PLSB Sungai Kemaman, Terengganu.

- Selain itu, cerun serta parit dan longkang di kawasan PBT akan dibaiki dan dinaik taraf di seluruh negara dengan peruntukan hampir 

RM320 juta.

- Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar bantuan pembaikan rumah mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000.

- Bantuan Awal Persekolahan ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 ringgit bagi setiap murid. 

- Kerajaan bersetuju untuk memberikan Elaun Sara Hidup kepada pelajar Tingkatan Enam berjumlah RM2,500.

- Peruntukan RM870 juta disediakan untuk Rancangan Makanan Tambahan kepada lebih 800,000 murid.

- Pengambilan Pembantu Guru diperluas ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi dan akan ditambah secara berfasa setelah penilaian keberkesanan dilaksanakan.

- Bagi 2027, Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan.

- Bayaran balik minimum dikenakan hanya RM50 ke atas peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

- Bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI 2027 ditingkatkan kepada RM500, berbanding RM400, yang memanfaatkan lebih 60,000 penuntut IPTA.

Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan.

Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan.

- Prasarana melabur lebih RM3.4 bilion untuk pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel dan kerajaan juga akan memperoleh 42 set tren baharu bagi perkhidmatan ETS dan KTM Komuter.

- Malaysia dan China turut sepakat untuk menyambung laluan ECRL ke Rantau Panjang. 

- Sebuah stesen bas di stesen ECRL Kota Bharu juga akan dibina untuk kemudahan rakyat Kelantan.

- Perkhidmatan bas henti-henti ditingkatkan di bandar-bandar utama dengan peruntukan RM270 juta. Ini termasuk menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL.

- Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah untuk membayar pampasan kepada mangsa.

- Sistem telematik akan diwajibkan untuk dipasang di kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko, termasuk menghubungkan dengan alat pengesan alkohol sebelum pemandu memulakan perjalanan. 

- Pelaksanaan sukarela dibuat hingga 2027, sementara Kerajaan sedang membangunkan pangkalan data pemandu untuk penguatkuasaan.

- Bagi tahun 2027, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan ke jawatan tetap. Bermakna, selepas ini, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap Pegawai Perubatan.

- Bagi menghargai 47,000 anggota paramedik dan jururawat yang memikul tanggungjawab besar di lapangan, kadar Bayaran Insentif Pos Basik akan ditingkatkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

- Kerajaan bersetuju menaikkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100.

- Kerajaan akan meluncurkan Pelan MediAsas mulai Januari 2027 pada harga mampu milik. Melalui pelan ini, bayaran hospital akan mengikut jenis diagnosis dan rawatan supaya kos lebih terkawal serta mudah dijangka.

- Ahli KWSP di bawah usia 55 tahun dibenarkan membayar premium MediAsas melalui Akaun Sejahtera.

- Mulai 2027, bil hospital swasta menggunakan kategori caj yang seragam dan telus supaya pesakit memahami setiap bayaran dan herotan harga dapat dikurangkan.

- Portal e-CKAPS turut dibangunkan bagi membolehkan urusan pelesenan fasiliti kesihatan swasta dibuat sepenuhnya dalam talian mulai 2027, dengan tempoh pemprosesan disasar berkurang sehingga 65 peratus.

- Penerima STR dan pasangan berumur 40 tahun ke atas ditawarkan saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan dan insentif rawatan kanser melalui PeKa B40 dengan peruntukan RM80 juta.

- Semua prasarana hospital dan klinik awam akan diselenggara dan dibaik pulih dengan peruntukan RM1.2 bilion. Ini termasuk menaik taraf klinik-klinik daif yang berbaki.

Pegawai perubatan kontrak akan dilantik ke perjawatan tetap.

- Bagi mempercepat diagnosis dan rawatan, lebih RM770 juta disediakan untuk perolehan peralatan canggih dan moden. 

- Hospital Pakar USM dilengkapkan dengan teknologi pembedahan robotik bagi memperluas rawatan kepada pesakit di Pantai Timur dan utara Semenanjung.

- Rang Undang-Undang Warga Emas akan digubal bagi menangani pengabaian dan memperkukuh ekosistem penjagaan yang menyeluruh.

- Mulai 1 Januari 2027, kadar cukai perkhidmatan jagaan warga emas diturunkan daripada 8 kepada 6 peratus. Pengecualian penuh diberikan bagi yuran jagaan sehingga RM96,000 setahun.

- Bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas, lebih RM40 juta disediakan melalui HRD Corp untuk melatih 8,000 orang sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada mereka dalam bidang ini.

- Bantuan warga emas tahun hadapan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion bagi manfaat hampir 200,000 penerima.

- Peruntukan keseluruhan bagi bantuan OKU meningkat kepada RM1.5 bilion untuk manfaat lebih 300,000 OKU.

- Kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik ditingkatkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.

- Ambang pendapatan bagi melayakkan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya ditingkatkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.

Golongan OKU turut menerima pelbagai manfaat menerusi pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri.

Golongan OKU turut menerima pelbagai manfaat menerusi pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri.

- Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan untuk memanfaatkan 150,000 murid istimewa termasuk anak autistik.

- Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas ditingkatkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan untuk memanfaatkan 20,000 guru pendidikan khas.

- Dua buah Pusat Permata Kurnia akan dibina iaitu di Melaka dan Pahang sebagai pusat khusus untuk anak-anak autistik diberi pendidikan, sokongan dan latihan.

- Lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu dibuka di kawasan desa seluruh negara bagi membolehkan anak autistik daripada keluarga susah mendapat bimbingan awal yang lebih berkesan.

- Jabatan Kemajuan Orang Asli akan diperuntukkan RM445 juta. Ini termasuk bagi melaksanakan projek; Penanaman semula di Pos Poi, Sungai Siput, Perak; serta Pembinaan tabika Orang Asli di Kampung Angkek dan Pos Belatim, Gua Musang, Kelantan.

- Kerajaan akan melaksanakan Komuniti Angkat Madani dengan peruntukkan RM50 juta dengan tumpuan kali ini untuk membantu komuniti PPR bandar.

- Pengurusan tertinggi kementerian dan agensi diamanah mengetuai ikhtiar ini. Universiti dan institusi TVET turut dilibatkan supaya dapat menawarkan kemahiran yang diperlukan warga PPR.

- Kerajaan juga akan menyediakan dapur bersama, peralatan perniagaan dan latihan untuk meningkatkan pendapatan penduduk.  

- Projek untuk prasarana asas desa diperuntukkan RM 3.3 bilion; termasuk memasang lampu jalan kampung, kemudahan komuniti serta bekalan air bersih dan elektrik.  

- TNB melaksanakan pemasangan lampu jalan solar di kampung dan panel solar bumbung di rumah kebajikan serta rumah ibadat.

- Bekalan elektrik turut ditambah baik di sekolah tahfiz, pondok dan perkampungan Orang Asli.  

- Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor menyepakati lima langkah utama termasuk menilai keupayaan Empangan Batu dan Empangan Klang Gate bagi 30 tahun mendatang.

- Sebagai langkah segera, RM100 juta disediakan untuk membangunkan kolam takungan dan menyelenggara sungai bagi mengurangkan risiko banjir.

- Isu banjir dan bekalan air bersih di Kelantan diselesaikan.

- Kerajaan akan memulakan perencanaan Projek Empangan Lebir sebagai penyelesaian jangka panjang.

- Serentak itu, pembinaan Loji Rawatan Air Machang dan penggantian paip uzur yang sedang berjalan.

- Pulau Pinang dipeta sebagai Pusat Kewangan Teknologi Negara.

- Kesesakan lalu lintas di Johor Bahru mesti ditangani segera dengan kerajaan telah bersetuju melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) sebagai penyelesaian utama.

- Menjelang pembukaan RTS Link, kerajaan akan menambah laluan dan kekerapan bas henti-henti, meningkatkan kekerapan KTM Komuter serta menyediakan khidmat Grab Shuttle di kawasan tumpuan.

Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan Mada terus diberi keutamaan.

Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan Mada terus diberi keutamaan.

- Perak dipacu sebagai hab industri. Pembangunan LuMIC sebagai hab maritim di Lumut diperhebat bagi menarik pelaburan dan pekerjaan.

- Melaka mesti menjadi tumpuan pelabur dan pembangunan bakat. Melaka Centre of Excellence membuka peluang pekerjaan dengan gaji bermaruah buat anak Melaka melalui latihan TVET berteknologi tinggi.

- Malaysia Vision Valley 2.0 memangkin ekonomi Negeri Sembilan. Kerajaan Madani melengkapkan pembangunan dengan prasarana seperti jalan baharu dari KLIA ke Bandar Enstek; naik taraf Jalan Pajam-Nilai-Salak dan pelaksanaan Projek Klang Valley Dual Track 2.

- ECRL memangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan strategik di Pahang. Kerajaan MADANI menyokong pembangunan di sepanjang jajaran ECRL, meliputi industri berat di Bentong dan perumahan rakyat berhampiran di stesen KotaSAS.

- Pembangunan Lembah Chuping di Perlis membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan. Kerajaan membangunkan 21 infrastruktur di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping serta NCER Agribio Economic Zone.

- Kedah memegang dua kekuatan negara iaitu jelapang padi dan industri teknologi tinggi. Kulim Hi-Tech Park menarik pelaburan semikonduktor dunia yang membuka pekerjaan mahir dan peluang perniagaan untuk anak Kedah.

- Serentak itu, Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan MADA terus diberi keutamaan bagi meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah.  

- Terengganu terus dipacu sebagai tumpuan ekopelancongan. Produk pelancongan utama dinaik taraf seperti Setiu Wetlands, Tasik Kenyir, Pulau Tenggol dan Pulau Bidong.

- Gaji minimum daripada RM1,700 dinaikan kepada RM2,000. Kadar itu berkuat kuasa mulai Jun 2027.

- PMKS dengan hasil jualan di bawah 50 juta ringgit dikecualikan bagi memberi ruang untuk penyesuaian model perniagaan.

- Kerajaan dan pihak Grab bersetuju untuk membiayai bersama satu pakej bernilai RM160 juta  bertujuan untuk meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing.

- Pakej ini meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum bagi pekerja e-hailing dan p-hailing, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans, serta caruman perkeso.

- Ini bermakna, pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100  sebulan.

Kadar gaji minimum naik kepada RM2,000.

Kadar gaji minimum naik kepada RM2,000.

- Jumlah keseluruhan untuk subsidi, bantuan dan insentif lebih RM80 bilion. Ini termasuk, subsidi bahan api yang dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion ringgit dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat hampir RM3.3 bilion ringgit.

- Peruntukkan STR SARA 2027 ditingkatkan kepada RM16 bilion. Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun.

- Penerima STR berumur 18 ke atas akan menerima SARA Madani RM100 sebanyak dua kali  iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang 7 dasawarsa Merdeka.

- Had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010, dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.

- Pelepasan cukai individu turut diperluas merangkumi rawatan perubatan diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin; penjagaan ibu bapa dan datuk nenek diperluas meliputi semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada kesihatan.

- Serta peralatan sukan meliputi pembelian kasut sukan; yuran pengajian dan kemahiran diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.

- Selain, gaya hidup diperluas merangkumi langganan ai serta kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.